(Petikan dari Abul Hassan ali Nadawi, Saviors of Islamic Spirit)
Salahuddin  dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914).  Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di  samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang  menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa  anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan  menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang  menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan  perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.
Stanley  Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai  anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain  tetapi tidak menunjukkan sebarang  tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia  menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau  bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar  pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya  untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Kadi  Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa  Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan  orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Kadi Bahauddin, 1234).  Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh  jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi  kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu” (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin
Apabila  Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah  telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang  tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh.  Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin  sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenagannya  telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur  kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala  kesenangannya (Kadi Bahauddin,1234).
Bahkan  Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara  hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani  hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup  senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada  tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu  untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang  kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran  Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Kadi  Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang  berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan  jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa  meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari  mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa  yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh  perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Siapa  sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah  memulakan jihad melawan tentera salib ia akan menumpukan seluruh  perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.  Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan  anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari  satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan  tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia  juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang  mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika  ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor  peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya  makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia  tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Kadi Bahauddin,  1234)
Peperangan Hittin
Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon.  Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari  Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain.  Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan.  Stanley Lane-Poole menceritakan bahawa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.  Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu  di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan  kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan  30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun  selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin kepada Islam
Peperangan  Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley  Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan  semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan  diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah  Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya.  Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke  hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk  membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji.  Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat atasnya”. Lalu ia  menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian  dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja  Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana  menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan  mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja  membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala  batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi”.
Tindakan  Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi  Muhammad. Kadi Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin  mencatatkan bila jemaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa  belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka  dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu”. Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Menawan Baitul Muqaddis
Kemenangan  peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk  menawan Baitul Muqaddis. Kadi Bahauddin telah mencatatkan bahawa  Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis  hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam  hatinya.
Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu  pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat  Rasulullah saw. naik ke langit. Dalam catatan Kadi Bahauddin ia  menyatakan inilah kemengan atas kemengangan. Ramai orang yang terdiri  dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang  meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang  dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang  untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir  semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan  melainkan Allah” telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddis. Salib  yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya  peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu  betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat  penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat  jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian  pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati  Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah  menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika  orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab,  menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan  hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan.  Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang  yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang  tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.
Lane-Poole  juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada  pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma.  Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan  di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan.  Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari  pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang  miskin tanpa mengidar bilangan mereka.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan  itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak  bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung  dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang  mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah  mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa  diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka  dilayan dengan baik oleh Salahuddin.
Lane-Poole  juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui  mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang  Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada  tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin  dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari  kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan.  Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia  Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.  Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick  Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus  raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of  Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu  oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk  mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak  dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H.  Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya  kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka  berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole  telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang  telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada  bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan  orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M,  keseluruhanya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre  ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini  walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang  Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat  senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of  Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar  telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk  mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau  bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian  pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi  Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya  Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah  ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan  Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang  menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk  menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh  di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti,  tetapi ketaatan mereka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam  peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah  menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin  memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentera-tenteranya dari  Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan  orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun  mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat  menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada  tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole  juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia  mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam  majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa  yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam  majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat  lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha.  Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan.  Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa  pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan  ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Wafatnya Salahuddin
Pada  hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas  berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun.  Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis  mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari  selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu  Ja’afar seorang yang wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana  supaya jika ia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan  kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya  hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya  semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin  selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan  ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang  ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil  senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, “Memang  benar”. Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke  rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin  tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia  wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta  lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup  untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk  menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh  seorang menterinya.
Salahuddin yang Wara’
Bahauddin  bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan  kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak  pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan  ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam.  Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah  saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan  hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya  ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di  belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah  tersangat lemah dan selalu pingsan. Tetapi ia tidak pernah tinggal  sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia  sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada  fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia  hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak  meninggalkan harta.
Bahauddin juga mencatatkan  bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya  sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia  berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka.  Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu  bila ajal akan menemuiku”. Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin  teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah  berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah  menjadi-jadi tetapi ditakdirkan.
Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendegarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh Suhrawady yang membawa ajaran sesat.
Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendegarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh Suhrawady yang membawa ajaran sesat.
Salahuddin  sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan  segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada  satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak  dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian.  Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci  itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan,  “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa  malam itu dengan bersembahyang dan munajat. Pada tengah malam saya minta  supaya ia berehat tetapi jawabnya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah  tidur sejenak”. Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi  mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak  tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya,  “Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia  bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”
Aku  menjawab, “Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid  Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di  masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah saw  pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa  yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah  kepada Allah dengan ucapan
“Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku.
Kini aku mohon pertolongan-Mu.
Aku menyerahkan diriku kepada-Mu.
Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”
“Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku.
Kini aku mohon pertolongan-Mu.
Aku menyerahkan diriku kepada-Mu.
Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”
Aku  mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan  doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di  sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air  matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak  tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya  dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara  musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari  kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke  Ramla pada hari Isnin pagi”
Perangai Salahuddin
Siapa  yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat  kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar  dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah  mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu,  iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh  pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa  dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan  mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil  dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah  membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat  orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika  ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian  memberikan keputusannya. Sauatu hari seorang lelaki telah membuat aduan  berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia  memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang  lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang  memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak  berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa  pemberian yang lain.
Ia adalah seorang yang mulia  dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak  adilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu  dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan  hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka  mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa  sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima  kali lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air  yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. Dalam ketika yang  lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya  air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua  kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia  belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata  kepada khadamnya, “Cakap sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu  khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin  juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat  pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru  ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah  berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah  Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan  senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan  hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya  Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk  digunakan semasa kecemasan. Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah  negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya  wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan  dirinya”.
Salahuddin tidak pernah membiarkan  tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian  tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah  melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka,  melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam.  Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada  Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.
Hatinya  memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat  orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan  Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan  meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari  khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan  hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya  tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia  segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar  hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali  lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin  juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak  yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada  orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan  menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat  kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan  penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang  sedemikian.
Kesungguhan dan Semangat
Ketika  mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap  sakit kuat yang mengebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun  demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan  tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan  sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan peninggalkanku  apabila kamu menunggang kuda”.
Dalam ketika yang  lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi  memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata Bahauddin, “Aku  dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia  menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang  lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari  menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia  hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan  keselamatan pada waktu malam”.
Dalam kesungguhan,  semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi  Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera  musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika  berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang  sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap  tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya.  Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betama beraninya  Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan  hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar  perakara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan  kepadanya ketiak peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang,  tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit.  Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa  ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70  kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.  Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu  peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak  besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut.  Tentera musuh telah merempuh khemah-khemah tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi  Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya  kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.
Bahauddin  ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suati hari  Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa  yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini  di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini  kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku  ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau  dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai”.
Salahuddin sebagai ulama
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia  juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan  ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia  sangat gemar mengumpulkan pengeatahuan dan maklumat dari kawan-kawannya  dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu  penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal  syair-syair Arab.
Lane-Poole juga ada menuliskan  bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami  lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan  perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur’an
Bagikan ke Teman & Pengikut:
- Klik untuk membagikan di Facebook(Membuka di jendela yang baru) Facebook
- Klik untuk berbagi di X(Membuka di jendela yang baru) X
- Klik untuk berbagi di Linkedln(Membuka di jendela yang baru) LinkedIn
- Klik untuk berbagi pada Reddit(Membuka di jendela yang baru) Reddit
- Klik untuk berbagi pada Tumblr(Membuka di jendela yang baru) Tumblr
- Klik untuk berbagi pada Pinterest(Membuka di jendela yang baru) Pinterest
- Klik untuk berbagi via Pocket(Membuka di jendela yang baru) Pocket
- Klik untuk berbagi di Telegram(Membuka di jendela yang baru) Telegram
- Klik untuk berbagi di Utas(Membuka di jendela yang baru) Utas
- Klik untuk berbagi di WhatsApp(Membuka di jendela yang baru) WhatsApp
- Klik untuk membagikannya ke Mastodon(Membuka di jendela yang baru) Mastodon
- Klik untuk berbagi di Nextdoor(Membuka di jendela yang baru) Nextdoor
- Klik untuk berbagi di Bluesky(Membuka di jendela yang baru) Bluesky
SaveSavedRemoved 0
 


 
                                     
                                     
                                     
                                    