
| 
 Detik tanggal tahun 1924, merupakan sejarah hitam buat Kerajaan  Uthmaniyah apabila Kamal Ataturk menguasai Turki. Sistem Khalifah  yang menjadi mercu tanda kekukuhan negara Islam, mansuh akibat  pengaruh Barat pimpinannya. Pada ketika itulah muncul tokoh ilmuwan terulung dalam sejarah Turki  iaitu Badi’uzzaman Sa’id Nursi. Beliau telah mengorbankan seluruh  kehidupannya demi perjuangan untuk mengembalikan keagungan Islam  yang musnah itu. Ketika itu, agama dilihat sebagai faktor kemunduran dan kelemahan  umat. Fahaman sekularisme, materialisme, dan ateisme pula diterima  baik oleh masyarakat tempatan atas nama kebebasan dan kemajuan. Badi’uzzaman atau nama sebenar Sa’id bin Mirza dilahirkan pada tahun  1876 (1294H) di Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan,  Turki. Beliau juga dikenali sebagai Sa’id al-Nursi yang merujuk kepada  tempat kelahirannya. Nursi dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang hidup serba  sederhana. Ibu dan bapanya berketurunan Kurdis dan mereka dikatakan  berasal daripada salasilah keturunan Ahl dl-Bayt. Nursi pernah diberi  gelaran Badi’azzaman (Keunggulan Zaman) oleh gurunya, Syeikh  Fathu’llah. Walau bagaimanapun Nursi menolak kerana merasakan  dirinya belum layak menerima gelaran itu. Sejak kecil lagi Nursi telah memperlihatkan minatnya untuk menimba  ilmu pengetahuan. Beliau sangat gemar menghadiri majlis perbincangan  ilmu antara ulama yang sering diadakan di rumah ayahnya. Suasana  keilmuan ini memberikan pengaruh yang besar pada jiwa dan pemikiran  Nursi. Minatnya itu menyuburkan pemikiran analisis-kritis, dialog, dan  perdebatan. Nursi mula merantau ketika umurnya sembilan tahun dalam usahanya  untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan ramai  alim ulama termasuk Syeikh Muhammad al-Jalali di Madrasah Bayazid  bersempadan Iran. Di bawah bimbingan Syeikh Muhammad al-Jalali,  Nursi telah mempelajari dan menguasai kitab-kitab muktabar seperti  Jam’ al-Jawami, Sharh al-M.awaqif, dan Ibn Hajar. Disinilah bermulanya proses awal perkembangan dan pembentukan  pemikiran Nursi. Peluang di peringkat ini amat berharga pada Nursi, lalu  sentiasa meneruskan pengajian dengan beberapa orang tokoh ilmuwan  terkenal. Keterampilan beliau mula menampakkan ketokohan sebagai  seorang ulama, lalu dikenali waktu itu sebagai ulama muda yang hebat. Gabenor Bitlis, Umar Basha sangat mencintai ilmu dan memuliakan ulama. Oleh sebab itu beliau mempelawa Nursi supaya tinggal di kediaman  beliau yang mempunyai sebuah perpustakaan besar. Nursi tidak  melepaskan peluang itu demi memenuhi cita-citanya. Umar Basha  memberi peluang kepada Nursi untuk mendalami dan menghafal  kitab-kitab seperti aI-MataIi, al-Mawaaif, dan al-Mirqat. Dalam tempoh  dua tahun di kediaman Gabenor itu, beliau telah berjaya menguasai ilmu  al-kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith, dan fiqh dengan mantap. Tetapi, minatnya untuk meneruskan usaha memperluaskan ilmu  pengetahuan menyebabkan beliau meninggalkan Bitlis. Dalam  pengembaraannya itu beliau menyambut pelawaan Gabenor Hasan  Basha untuk berkhidmat di Wan sebagai ulama iaitu pada tahun 1897  (1314H). Setelah beberapa ketika tinggal di kediaman Hasan Basha, Nursi sekali  lagi dijemput untuk tinggal di kediaman Tahir Basha, Gabenor baru di  Wan. Ketika berada di Wan, Nursi sempat bertemu dan berdialog  dengan tokoh-tokoh ilmuwan moden. Kerana menyedari kelemahannya  dalam bidang ilmu moden, mendorong beliau berusaha mempelajari dan  mendalami ilmu-ilmu sains moden seperti fizik, kimia, biologi, ilmu kaji  bumi, dan astronomi. Selain ilmu sains beliau turut mempelajari ilmu sejarah, matematik,  geografi, dan falsafah moden. Setelah menguasai bidang agama dan  ilmu sains moden, sekali lagi Nursi diberi gelaran sebagai Badi’uzzaman.  Gelaran tersebut diterima bahkan dijadikan sebahagian daripada nama  beliau. Pengalamannya semasa menuntut ilmu memberikan kesedaran pada  beliau betapa perlunya dilakukan perubahan terhadap sistem pendidikan. Oleh sebab itu, beliau telah bertindak menggabungkan dua cabang ilmu  iaitu ilmu agama dan ilmu sains moden yang sebelum itu telah  dipisahkan. Nursi berazam untuk mengubah persepsi negatif masyarakat yang  berpandangan bahawa ilmu agama dan ilmu sains moden tidak boleh  digabungkan. Pendekatan beliau ini dilaksanakan semasa kerjayanya  sebagai seorang guru di madrasahnya yang dikenali sebagai Madrasah  Khur Khur. Nursi berpendirian bahawa umat Islam perlu menguasai kedua-dua  cabang ilmu tersebut demi masa depan umat Islam seluruhnya. Beliau  juga gigih berusaha untuk menubuhkan universiti yang akan dinamakan  Madrasat al-Zahra di Timur Turki. Walau bagaimanapun, usaha beliau  itu gagal kerana tidak mendapatkan persetujuan daripada golongan  yang berpengaruh di Istanbul. Sungguhpun begitu, Nursi terus berusaha untuk merealisasikan diri  umat Islam sebagai “Umat Contoh”. Pengamatan dan kesedaran Nursi  itu telah mendorong beliau mengatur gerakan ke arah mereformasi  sistem pendidikan yang wujud pada zamannya. Beliau berpendirian  teguh bahawa dalam dunia moden hari ini, ilmu-ilmu agama dan  ilmu-ilmu sains moden perlu bergerak seiring. Apabila Turki diisytiharkan sebagai sebuah negara Republik pada  29 Oktober 1923, Turki bertukar wajah menjadi sebuah negara sekular.  Kamal Ataturk melaksanakan dasar-dasar pemerintahan berlandaskan  fahaman sekularisme yang anti-Islam. Untuk menentang dasar itu, Nursi kemudiannya menyokong  pembentukan Parti Demokratik Turki. Harapannya agar dapat  melaksanakan pemerintahan yang adil dan sedikit kebebasan diberikan  kepada gerakan Islam. Menurut Nursi, sekiranya Kerajaan Sekular boleh  membenarkan fahaman ateis, mengapa tidak dibenarkan Islam bergerak  dengan bebas. Nursi mempunyai pandangan yang lain tentang konsep “kebebasan”  yang dilihatnya sebagai satu keperluan asas. Keperluan ini harus  dihormati dalam setiap agama dan bangsa. Namun, konsep “kebebasan”  itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan memandangkan pengisian maksud  “kebebasan” yang tidak selari dengan peraturan Islam. Atas hasrat inilah ketika perisytiharan perlembagaan  negara, Nursi  berjuang untuk menegakkan corak pemerintahan berasaskan  Perlembagaan yang berteraskan kepada syariat Islam. Walau  bagaimanapun, perjuangan suci beliau itu mendapat tentangan daripada golongan yang masih belum memahami kehebatan isi kandungan  al-Quran. Nursi berpandangan bahawa kesedaran serta kefahaman yang jelas  perlu diusahakan meskipun memakan masa yang panjang. Yang penting  isi kandungan al-Quran benar-benar difahami. Beliau menyedari bahawa  kekerasan hanya mencetuskan permusuhan dan tidak membawa  sebarang kebaikan kepada manusia. Dalam usaha itu, Nursi menyeru umat Islam agar menilai golongan yang  masih ragu-ragu terhadap Islam. Mereka perlu dikenal pasti sama ada  dalam kalangan umat Islam mahupun kaum bukan Islam. Mereka yang  terlibat itu dianggap sebagai satu golongan yang memerlukan bantuan  dan tunjuk ajar daripada umat Islam. Beliau sama sekali tidak mahu  terus melabelkan mereka sebagai musuh. Melalui kaedah ini, seruan  Islam lebih mudah disampaikan dan dapat diterima baik oleh masyarakat. Rasa’il al-Niir merupakan karya teragung Nursi yang merupakan  khazanah berharga sumbangan pemikiran beliau. Karya agung ini  seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam sepanjang zaman.  Sebenarnya, Rasa’il al-Nur merupakan satu tafsiran terhadap maksud  al-Quran al-Karim. Secara umum isi kandungan kitab ini merangkumi  persoalan keimanan. Menurut Nursi, satu-satunya rujukan dalam menghasilkan kitab  Rasa’il al-Nur ini ialah kitab suci al-Quran al-Karim. Antara persoalan  yang menjadi kupasan dalam karyanya itu ialah seperti ilmu  Mustalah al’Hadith, falsafah, Ilm al-Kalam, dan ilmu Tasawuf. Dalam  perbahasan  mengenai Mustalah al-Hadith, Nursi menekankan  hadith-hadith yang sering dipertikaikan masyarakat. Di sini, beliau telah  mengemukakan   perbahasan   yang menarik. Antara yang dibahaskan  ialah yang berkaitan dengan kisah Dajjal, turunnya Nabi Isa a.s, Imam  Mahdi, Nabi Khaidir, Malaikat, tanda-tanda kiamat, dan sebagainya. Dalam memperkatakan tentang falsafah, Nursi dalam risalah  al-Madfchol ila al-Nur menulis bahawa falsafah yang ditentang ialah  falsafah yang merosakkan manusia dan yang menentang agama. Oleh  sebab itulah, pelajar-pelajar aliran falsafah moden tidak menentang  Rasa’il al-Nitr, malah mereka sama-sama menyokong kandungan  Rasa’il al-Nur tanpa sebarang keraguan. Rasa’il al-Nur turut memuatkan perbahasan mengenai Ilm  al-Kalam. Dalam risalah al-Maktubat misalnya, Nursi menulis  bahawa ma’rrfatullah yang dibentangkan oleh al-Razi melalui  kaedah Ilm al-Kalam itu mengandungi kelemahan dan  kekurangan pada pandangan Ibn al-Arabi. Ma’rifatullah yang  terhasil melalui jalan Tasawuf juga mempunyai kelemahan jika  dibandingkan dengan ma’rifah yang dibentangkan oleh pewaris  nabi. Ulama pewaris nabi dalam kupasannya ialah mereka yang  menurut manhaj al-Quran. Rasa’il al-Nur juga memuatkan ajaran tasawuf. Tetapi kupasan  mengenainya tidak bermaksud menjadikan pembaca seorang ahli sufi.  Dalam hal ini, Nursi sering kali menyebut bahawa zaman ini bukan  zaman tasawuf atau tarekat, sebaliknya merupakan zaman untuk  menyelamatkan iman umat manusia. Jelas dalam karya itu, beliau menyifatkan bahawa manusia tidak  mungkin dapat memasuki syurga tanpa iman, tetapi ramai juga yang  dapat memasuki syurga tanpa tasawuf. Manusia sememangnya tidak  dapat hidup tanpa roti (gandum), tetapi mereka boleh hidup tanpa  buah. Maka tasawuf itu ialah buah manakala hakikat Islam (keimanan)  itu ialah roti. Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa sesungguhnya jika sekiranya  Syeikh Abd al-Qadir al-Jaylani dan Syeikh al-Naqshaband (pengasas  Tarekat Naqshabandiyah), Imam Rabbani, dan yang seumpama mereka,  hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan mencurahkan segala  kemampuan untuk memperteguh hakikat keimanan dan akidah Islam.  Hal ini demikian kerana kedua-duanya (iman dan akidah) sumber kepada  kebahagiaan yang sebenar dan abadi. Rasa’il al-Nur mendapat sambutan yang baik dalam kalangan  umat Islam Turki dan juga mereka yang berada dinegara-negara lain. Memandangkan isi kandungannya mempunyai  keistimewaan dan kelebihan tersendiri, kitab ini perlu disebar  kepada umat Islam di seluruh dunia. Menyedari kepentingan  ilmu, kitab Rosa’il al-Nitr ini diterjemahkan ke dalam beberapa  bahasa lain. Di samping bahasa Arab dan Inggeris, kitab  Rasa’il al-Nur juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman,  Itali, Perancis, Rusia, Rumania, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India,  Malaysia, dan beberapa bahasa lain Asia Tengah. Kegigihan perjuangan ulama Islam silam walaupun menemui kegagalan  perlu diteladani oleh umat Islam akhir zaman ini. Yang paling penting,  masyarakat Islam boleh menilai kelemahan dan kekurangan masyarakat  ketika itu. Perjuangan Badi’uzzaman Sa’id Nursi walaupun bermula sebelum  kemenangan Kamal Ataturk, namun umat Islam pada zaman itu terlalu  jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Oleh sebab banyak  usaha beliau ketika itu mendapat banyak tentangan daripada banyak  pihak. Tetapi seandainya umat Islam ketika itu mahu mengikut saranan  Badi’uzzaman sudah pasti Kamal Atartuk dapat dikalahkan dengan  mudah. Oleh sebab itu, perjuangan Badi’uzzaman ini perlu disebarluaskan dalam  kalangan umat Islam agar dapat dijadikan panduan dalam memperkasa  iman dan akidah umat Islam. Supaya peristiwa itu tidak berlaku lagi,  maka wajar umat Islam di negara ini menilai saranan tokoh ini. Antara  saranannya yang penting ialah supaya umat Islam menguasai ilmu sains  moden yang diasaskan atas dasar islamisasi. | 
|  | 
Bagikan ke Teman & Pengikut:
- Klik untuk membagikan di Facebook(Membuka di jendela yang baru) Facebook
- Klik untuk berbagi di X(Membuka di jendela yang baru) X
- Klik untuk berbagi di Linkedln(Membuka di jendela yang baru) LinkedIn
- Klik untuk berbagi pada Reddit(Membuka di jendela yang baru) Reddit
- Klik untuk berbagi pada Tumblr(Membuka di jendela yang baru) Tumblr
- Klik untuk berbagi pada Pinterest(Membuka di jendela yang baru) Pinterest
- Klik untuk berbagi via Pocket(Membuka di jendela yang baru) Pocket
- Klik untuk berbagi di Telegram(Membuka di jendela yang baru) Telegram
- Klik untuk berbagi di Utas(Membuka di jendela yang baru) Utas
- Klik untuk berbagi di WhatsApp(Membuka di jendela yang baru) WhatsApp
- Klik untuk membagikannya ke Mastodon(Membuka di jendela yang baru) Mastodon
- Klik untuk berbagi di Nextdoor(Membuka di jendela yang baru) Nextdoor
- Klik untuk berbagi di Bluesky(Membuka di jendela yang baru) Bluesky
SaveSavedRemoved 0

Previous
Biografi Ibnu Qayyim

Next
 
 
                                     
                                     
                                     
                                    