
Latar Belakang
  
Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di   Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922.
Bapanya  adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang   Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti   tasbih, sejadah dan lain-lain.
Pendidikan   awal Tuan Guru Yusof  Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan   kemudiannya di  Sekolah Charausta. Pendidikan menengah beliau ialah di Government  English School dan  kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus  peringkat Junior  Cambridge.
Selepas itu bapanya menghantar  beliau ke Makkah   untuk menuntut dalam bidang agama. Semasa tercetusnya  Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus  menetap di Makkah untuk  mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di  sana selama 12 tahun.
Menghadapi   Ujian
  Semasa  Jepun menyerang Tanah Melayu,  kawasan tempat tinggal keluarga Tuan  Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom  dari pesawat udara Jepun. Bapanya,  Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan   isterinya.  Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu   yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya.
Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai. Peristiwa itu   berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah.
Semasa  di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah  diburu  oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi  beberapa  hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis. Peristiwa ini berlaku  ekoran perkelahian di   antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah.
Sekembalinya  Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan  majalah Al-Islah.  Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah  Inggeris yang  mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.
Penglibatan dalam PAS
Tuan  Guru   Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal  penubuhan PAS iaitu   pada tahun 1951. Pada tahun 1959 beliau dilantik  menjadi Pesuruhjaya PAS   Pulau Pinang. Beliau kemudian dipilih untuk  menduduki Jawatankuasa Pusat yang  ketika itu didominasi oleh  pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan  Kedah.
Sejak dari zaman  Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa  sudah pun dianggap  sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS. Menjelang penghujung tahun  1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib  Yang Dipertua pertama dan  Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil  Noor.
Krisis  kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz  Hassan  Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar  Dato’ Abu  Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah. Pada tahun 1981, Tuan    Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang  Dipertua PAS   dan menang.
Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah  memaksa Dato’ Mohd Asri   Muda meletakkan jawatan. Jawatan Yang Dipertua  PAS telah dipangku oleh   Tuan Guru Yusof Rawa. Dalam Muktamar PAS  ke-29 pada tahun 1983, Tuan Guru   Yusof Rawa telah sebulat suara  dilantik Yang Dipertua PAS.
Apabila Majlis Syura Ulama’  diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan  PAS, Tuan Guru Yusof Rawa telah  dipilih sebagai Mursyidul Am yang  pertama pada tahun 1987. Di atas  sebab-sebab kesihatan, Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan  jawatan sebagai  Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang  jawatan sebagai  Mursyidul Am.
Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai  Mursyidul Am pada tahun   1993. Jawatan itu dipegang seterusnya oleh  Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik   Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua.
Menangani Krisis   Peralihan
Tuan  Guru Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan  bukan  hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan  gerakan  Islam. Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato’ Asri dan   angkatan pemimpin-pemimpin eranya. Ekoran itu berlaku pula tindakan dan   ancaman terhadap PAS daripada penyokong-penyokong Dato’ Mohd Asri.
Kemelut  dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku  apabila rakan  kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM  membuat keputusan  untuk menyertai UMNO. Tuan Guru Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar  Ibrahim mengambil  keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya  dengan Anwar, Tuan  Guru Yusof Rawa menyatakan:
“…tindakan anda itu umpama menikam kami dari  belakang”
Dengan  pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan  sikap  keterbukaan dan kesederhanaannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah  berjaya  menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam  arus  perdana perjuangan Islam di negara ini.
Pendekatan dan mesej  perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru  Yusof Rawa telah berjaya  menarik minat angkatan muda dan  pencinta-pencinta perjuangan Islam  menyertai PAS. Dalam menangani era peralihan ini, Tuan Guru Yusof Rawa  amat  beruntung kerana dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz  Fadzil  Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,  Ustaz  Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya.
Menangani Gejala   Dalaman
Setelah  melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato’ Mohd Asri Muda  balik  ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya   mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.
Kumpulan  ini mengancam untuk bertindak menggempur pimpinan baru PAS.  Laporan  yang diterima dari Kelantan melihat ancaman itu membahayakan  perpaduan  jamaah. Demi menjaga keutuhan parti, Tuan Guru Yusof Rawa melalui  mesyuarat  Jawatankuasa Disiplin telah membuat satu keputusan yang amat  berat  sekali.
Keputusan tegas dan berani telah dibuat dengan  Ustaz Hasan Shukri  selaku Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat  kepada Dato’ Mohd Asri  Muda yang menyebut:
”Jawatankuasa  Disiplin parti menggantung keahlian saudara daripada  menjadi ahli Parti  Islam Se-Malaysia (PAS) mulai dari tarikh keputusan  ini dibuat  sehingga kepada masanya diberitahu kelak.
Dengan demikian maka  terlucutlah segala hak keahlian saudara dalam PAS  seperti yang  disebutkan oleh Fasal 14(10(a) hingga (e) mula tarikh di  atas, 9 Rabiul  Akhir 1403/23 Januari 1983 hingga masanya diberitahu  kelak”
Bersama-sama  Dato’ Mohd Asri Muda yang dikenakan tindakan disiplin  ialah 12 orang  lagi yang mana ada di antaranya dipecat, digantung dan  diberi amaran.  Sebahagian besar   daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Agung.  Tindakan ini dikira sebagai tindakan paling berani yang diambil oleh   gandingan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil demi   menyelamatkan parti daripada ancaman krisis.
Mengasaskan Kepimpinan Ulama’
Isu  kepimpinan ulama’ timbul dalam PAS apabila krisis melanda PAS di  bawah  kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda, terutama pada tempoh terakhirnya. Ia  bermula dengan polimik apakah PAS parti   Islam atau parti nasionalis?
Walaupun  PAS tidak pernah berganjak bahawa ia adalah sebuah jamaah  Islam, namun  pandangan yang melihat PAS sebagai lebih kepada arah  nasionalis amat  berpengaruh pada era Dato’ Mohd Asri Muda.
Pertembungan  pemikiran ini melemahkan daya tahan pimpinan angkatan   Dato’ Mohd Asri  Muda. Ada yang berpandangan bahawa malang yang merundung   PAS ialah  kerana ia tidak dipimpin oleh ulama’.
Tidak pula dinafikan  pengaruh daripada kepimpinan ulama’ dalam Revolusi Iran mempengaruhi  suasana dalam PAS pada masa itu. Kejayaan umat Islam meruntuhkan rejim  zalim Shah   Iran dilihat sebagai kejayaan cemerlang kepimpinan ulama’.
Dalam  suasana inilah tampil tokoh besar dalam PAS seperti Tuan Guru  Nik  Abdul Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh pelapis seperti Ustaz Fadzil Noor   dan Ustaz Abdul Hadi Awang. Berlatar belakang senario ini, Tuan Guru  Yusof Rawa merintis jalan ke   arah kepimpinan ulama’.
Sikap  keterbukaan dalam gaya kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa telah  menjadikan  seluruh lapisan keahlian menerima dan terus memartabatkan  kepimpinan  ulama’ dalam PAS. Dengan itu, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya  memantapkan paksi  perjuangan PAS sebagai parti politik Islam, gerakan  dakwah dan harakah  Islamiyyah melalui konsep kepimpinan ulama’.
Pindaan Perlembagaan 1983
Setelah  memantapkan PAS di segi dalaman, Tuan Guru Yusof Rawa berusaha   meletakkan semula PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berwibawa   di negara ini. Peluang tersebut muncul apabila Dr. Mahathir Mohamad  mengambil langkah  untuk menyekat kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan  Perlembagaan  Persekutuan pada tahun 1983.
Tuan Guru  Yusof Rawa menerajui   PAS membantah langkah Dr. Mahathir. PAS mengambil  sikap mempertahankan hak raja-raja Melayu dan menyekat  pembolotan  kuasa kerajaan yang cuba dilakukan oleh Dr. Mahathir. Tindakan ini  sekali gus berjaya menampilkan PAS sebagai juara   umat Islam dan bangsa  Melayu.
Walaupun langkah ini diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa,  dasar PAS  tetap selaras dengan Islam. Ini kerana sepanjang sesi  1984-85, PAS di  bawah pimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sering berbicara  mewakili golongan  mustadafin dan menentang golongan mustakbirin.
Dalam  tempoh   tersebut, PAS memperkenalkan secara terbuka perjuangan  menegakkan keadilan dan   menentang kefasadan. Seterusnya pada tahun  1985, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS  meningkatkan kempen  menentang segala bentuk asabiyyah, terutama  asabiyyah UMNO dan Barisan  Nasional.
Kebijaksanaan Tuan Guru Yusof Rawa merebut peluang  daripada langkah  Dr. Mahathir untuk menyekat hak raja-raja Melayu telah  memberi ruang  yang seluasnya bagi beliau menempatkan PAS kembali  sebagai sebuah parti  politik dan gerakan Islam yang relevan dan  berwibawa di negara ini.
Tragedi   Memali
Tragedi  Memali yang tercetus pada 18 November   1985, berlaku semasa PAS  diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa. Tragedi ini merupakan pembunuhan  kejam Ustaz Ibrahim Libya dan tigabelas muridnya akibat serangan  kira-kira 4,000 anggota polis. Empat anggota polis turut   terkorban.
Tragedi Memali bermotifkan politik. 
Peristiwa  ini berlaku apabila sokongan orang Melayu yang semakin  meningkat  terhadap PAS lantaran penerimaan mereka terhadap kewibawaan  PAS dan  kepimpinan ulama’. Tragedi Memali didahului sebelum itu dengan beberapa  operasi   penahanan ISA terhadap tokoh-tokoh Pemuda PAS.
Tuan  Guru Yusof Rawa dengan tenang menangani tragedi di Memali. Tugas  ini  diserahkannya dengan penuh bijaksana kepada timbalannya, Ustaz  Fadzil  Noor, yang juga pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri  Kedah. Di  bawah kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, PAS menegaskan bahawa Ustaz  Ibrahim Libya dan rakan-rakannya gugur sebagai syuhada’.
Pendirian  ini dipertahankan oleh Tuan Guru Yusof Rawa walaupun  Jawatankuasa  Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati  syahid dan  dianggap sebagai syibghul bughah. Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan  mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz  Ibrahim Libya dan rakan-rakannya  sebagai bughah, atau penderhaka, Tuan  Guru Yusof Rawa tetap cekal  mempertahankan pendirian PAS bahawa mereka  semua adalah mati syahid.
Menentang Kezaliman   ISA
Semasa  PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa, pemimpin-pemimpin PAS   terutama tokoh-tokoh Pemuda sering berhadapan dengan tangkapan di bawah   ISA. Semasa Dato’ Mohd Asri Muda menerajui PAS, pendirian PAS terhadap  ISA adalah seperti yang diungkapkan sendiri olehnya sebagai:
”PAS  merasakan betapa perlunya undang-undang itu bagi sebuah negara  merdeka  yang masih muda seperti Persekutuan Tanah Melayu demi menjaga  keamanan  negara dan mengawasi serta mencegah gerakan subversif, apatah  lagi  gerakan komunis yang amat memerlukan pengawasan dan prihatin  daripada  seluruh rakyat yang cintakan keamanan.
Sikap ini menjadi bukti  kerana sekalipun PAS berada di pihak  pembangkang, PAS tidaklah  mengambil sikap menentang secara melulu,  mentang-mentang menjadi  golongan pembangkang, maka semua yang datang  daripada kerajaan  ditentang”
Berlainan dari zaman Dato’ Mohd Asri Muda, di bawah  teraju Tuan Guru  Yusof Rawa, PAS mengambil sikap dan pendirian yang  berbeza terhadap ISA.
Perubahan ini ketara dalam   Ucapan Dasar Tuan Guru Yusof Rawa pada tahun 1985. Di mana   katanya:
”Undang-undang  Keselamatan Dalam Negeri yang diluluskan oleh Parlimen  dan  pindaan-pindaan yang telah dibuat ke atasnya lebih kejam lagi.   Undang-undang ini tidak terikat kepada mana-mana prinsip sekalipun,   kecuali kepada keinginan Menteri Dalam Negeri. Mangsanya dihukum tanpa   memerlukan apa-apa pembuktian, sama ada dari yang dituduh atau yang   menuduh”
Menyentuh penahanan pemimpin-pemimpin muda PAS seperti  Ustaz Abu  Bakar Chik, Abdul Razak Daud, Mohamad Sabu, Ustaz Bunyamin  Ya’kub dan  Suhaimi Said, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:
”Penahanan  mereka hanyalah semata-mata di atas keinginan Menteri  Dalam Negeri  yang didesak berulang kali oleh wakil-wakil dalam  Perhimpunan Agung  UMNO Bahaya kepada UMNO dianggap sebagai bahaya kepada keselamatan  negara.  Kemerosotan sokongan kepada UMNO dianggap perpecahan dan  ancaman yang  membahayakan orang-orang Melayu. Inilah lojik dan cara  berfikir pemimpin  yang mengamalkan prinsip diktator berparlimen”
”Undang-undang ini nyata sekali bertentangan dengan   keadilan”
Dalam  Ucapan Dasar pada tahun 1988, menyentuh tangkapan ISA terhadap  sepuluh  orang pemimpin muda PAS di bawah Operasi Lalang, Tuan Guru Yusof  Rawa  menegaskan:
”Sebenarnya tindakan ini bukan kerana keselamatan  negara, tetapi  adalah kerana muslihat pemimpin-pemimpin yang sudah  terpisah dari orang  ramai, terpisah dari perjuangan rakyat dan partinya  sendiri, malah  terpencil dari kliknya sendiri. ISA pada prinsipnya  adalah undang-undang yang zalim kerana ia tidak  memberi peluang membela  diri kepada mangsanya dalam apa bentuk pun”
Dasar yang diambil oleh Tuan Guru   Yusof Rawa terhadap ISA adalah jelas berdasarkan prinsip.
PAS menolak   ISA kerana ia zalim!
Kejelasan pendirian dalam isu ISA inilah yang   diwarisi oleh Ustaz Fadzil Noor ketika menerajui PAS.
Sumbangan   kepada Gerakan Islam: Sikap Terbuka dan   Sederhana
Sumbangan  terbesar Tuan Guru Yusof Rawa terhadap gerakan dan  perjuangan Islam di  Malaysia adalah di atas tindakannya untuk  mengukuhkan serta  menempatkan kembali PAS dalam arus perdana politik dan  dakwah di negara  ini.   
Kepimpinannya yang  terbuka memberi ruang yang seluas-luasnya kepada  tokoh dan tenaga muda  pelapis dalam PAS untuk melakar dan mencorakkan  peta baru perjuangan  Islam di Malaysia melalui PAS.
Konsep kepimpinan ulama’ yang  diterajuinya memartabatkan kedudukan  gerakan Islam di atas paksi ilmu,  syaksiyyah dan akhlak mulia  pemimpin-pemimpin yang tinggi cita-cita  perjuangan Islamnya.
Peralihan daripada sebuah gerakan yang  dianggap sebagai nasionalis  Islam kepada sebuah harakah Islamiyyah  telah menarik minat golongan  teknokrat, intelektual, para lepasan  universiti tempatan dan luar negara  serta pelbagai lapisan pencinta  perjuangan Islam di negara ini.
Tuan Guru Yusof Rawa turut  memberi ruang yang luas kepada barisan  pimpinan pelapis untuk meneroka  kerjasama politik dengan kaum bukan  Islam. Beliau merintis jalan ke  arah penubuhan CCC atau Chinese Consultative   Council. Dalam konteks  pengukuhan unsur-unsur dalaman PAS, Tuan Guru Yusof Rawa  membuka ruang  seluas-luasnya kepada pendekatan tarbiyyah dan harakiyyah.
Pendedahannya  di luar negara serta pengetahuannya tentang perjuangan  gerakan Islam  seperti Ikhwan Muslimin dan gerakan-gerakan pembebasan  yang lain,  memberi keupayaan kepada Tuan Guru Yusof Rawa untuk  mencorakkan  gerakerja haraki dalam PAS.
Sikap ini telah berjaya memberi  laluan kepada pendokong-pendokong  Islam daripada pelbagai latar  belakang untuk menyertai dan terlibat  aktif dalam PAS. Demikian juga  bagi mereka yang mendokong pendekatan Revolusi Islam  Iran. Sikap  terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa telah memberi  ruang bagi  mereka terlibat memberi sumbangan perjuangan Islam dalam PAS.
Di  bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan bahawa apa  yang  boleh dianuti adalah semangat revolusi di segi menentang penindasan   pemerintah yang zalim, tetapi bukan di segi anutan mazhabnya. Namun di  sebalik sikap terbuka dan sederhananya, PAS di bawah teraju  kepimpinan  Tuan Guru Yusof Rawa tidak pernah berkompromi dengan  kezaliman,  penindasan dan kemungkaran.
Pendirian inilah yang menampilkan  identiti PAS sebagai parti   politik Islam dan sebuah harakah  Islamiyyah. Di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, ditegaskan dengan  jelas bahawa  kepimpinan ulama’ bukan sahaja membawa makna kepimpinan  mesti diterajui  oleh ulama’.
Hakikat yang lebih utama adalah  kepimpinan ulama’ berkehendakkan  kepada kandungan perjuangan yang  berteraskan ciri-ciri tarbiyyah,  dakwah, ilmu dan satu pergerakan atau  harakah yang menjadikan cita-cita  Islam sebagai paksinya.
Jelas,  di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah meletakkan  paksi  penting perjuangan PAS selepas mengambilalih daripada Dato’ Mohd  Asri  Muda.
Pencapaian Sebagai Ahli Politik   Islam
Kemenangan  awal dalam penglibatan politik Tuan Guru Yusof Rawa ialah  pada  pilihanraya tahun 1969 apabila berjaya mengalahkan Dr. Mahathir  Mohamad  bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan.
Sebelum penyertaan PAS  dalam kerajaan Perikatan lagi, Tuan Guru Yusof  Rawa telah diberikan  kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal  tahun 1970an untuk  menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di  Taiwan.
Perlantikan  ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan  kemampuan Tuan Guru  Yusof Rawa bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa  Arab.
Apabila  PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun  1973, Tuan  Guru Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk   membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia.
Tuan  Guru Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau    Pinang. Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara  di   PBB. Sekembalinya dari New York beliau menyertai pilihanraya tahun  1974   dan menang tanpa bertanding.
Sejurus selepas itu, sebagai  salah seorang pemimpin kanan dalam  parti, beliau dilantik menjadi  Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Menterinya pada masa itu adalah Tan  Sri Musa   Hitam.
Perlantikan ini menjadikan Tuan Guru Yusof  Rawa sebagai anak Melayu Pulau Pinang pertama menjawat jawatan politik  setinggi itu. Selepas itu, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik pula sebagai  Duta Besar Malaysia ke Iran. Ketika itu Shah Iran masih memerintah Iran.  Dengan   tugas sebagai Duta ke Iran, Tuan Guru Yusof Rawa juga  ditauliahkan ke Turki dan   Afghanistan.
Semasa menjalankan  tugas tersebutlah Tuan Guru Yusof Rawa belajar  bahasa Farsi dan bahasa  Perancis di samping mengekalkan kefasihannya  dalam bahasa Inggeris dan  bahasa Arab. Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada  tahun 1978,  Tuan Guru Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979  apabila tamat  tempoh khidmatnya.
Tuan Guru Yusof Rawa    kemudian memilih berkhidmat dengan PAS dan meninggalkan kerajaan. Tuan    Guru Yusof Rawa juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah  Pulau Pinang   pada tahun 1992.
Penghormatan   Terakhir
Tuan  Guru Yusof Rawa menghembuskan nafas   terakhir setelah solat subuh pada  hari Jumaat, 28 April 2000. Penuh sesak   orang membanjiri Masjid  Gelugor pada solat Jumaat dan solat jenazah untuk Tuan   Guru Yusof  Rawa.
Sepanjang jalan dari Gelugor ke Kampong Makam yang  terletak di  pinggir bandar Georgetown dipenuhi oleh orang ramai yang  datang untuk  memberi penghormatan terakhir. Kaum Cina dan India juga  datang untuk memberikan penghormatan  terakhir. Turut hadir adalah Ketua  Menteri Pulau Pinang, Datuk Koh Tsu  Koon.
sumber
Bagikan ke Teman & Pengikut:
- Klik untuk membagikan di Facebook(Membuka di jendela yang baru) Facebook
 - Klik untuk berbagi di X(Membuka di jendela yang baru) X
 - Klik untuk berbagi di Linkedln(Membuka di jendela yang baru) LinkedIn
 - Klik untuk berbagi pada Reddit(Membuka di jendela yang baru) Reddit
 - Klik untuk berbagi pada Tumblr(Membuka di jendela yang baru) Tumblr
 - Klik untuk berbagi pada Pinterest(Membuka di jendela yang baru) Pinterest
 - Klik untuk berbagi via Pocket(Membuka di jendela yang baru) Pocket
 - Klik untuk berbagi di Telegram(Membuka di jendela yang baru) Telegram
 - Klik untuk berbagi di Utas(Membuka di jendela yang baru) Utas
 - Klik untuk berbagi di WhatsApp(Membuka di jendela yang baru) WhatsApp
 - Klik untuk membagikannya ke Mastodon(Membuka di jendela yang baru) Mastodon
 - Klik untuk berbagi di Nextdoor(Membuka di jendela yang baru) Nextdoor
 - Klik untuk berbagi di Bluesky(Membuka di jendela yang baru) Bluesky
 
