
Hari ini kita berkenalan dengan seorang ‘alim yang bersungguh-sungguh  memberikan perhatian kepada ilmu, kitab-kitab turast, sanad dan ijazah.  Beliau ialah al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad b. Kamaludin al-Maliki  al-Azhari Hafizahullah.
Memberikan sumbangan yang amat besar  kepada Umat Islam Malaysia. Pernah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah  Negeri Sembilan 1427 Hijriyyah. Pelopor kepada Yayasan Sofa Negeri  Sembilan, Madrasah Husainiah, Madrasah Hasaniah, Pusat Tahfiz al-Quran  dan Hadith, Darul Maliki dan penubuhan Universiti al-Azhar (Cawangan  Malaysia).
Antara kitab-kitab yang pernah beliau mengajar ialah:  Tafsir Jalalain, Tafsir Nur al Ihsan, Al Syifa’ bi Ta’rif Huquq al  Mustofa, Al Syamail al Muhammadiah, Al Azkar Imam Nawawi, Nasoih al  Diniyyah wa al Wasaya al Imaniyyah, Aqidah al Awam, Aqidah Islam Imam al  Ghazali, Safinah al Najah, Hikam Ibni Ataillah, Hikam Abi Madyan, Hikam  Ibni Raslan, Minhaj al Abidin, Qatr al Ghaithiyyah, Tanbih al Ghafilin,  Munyah al Musolli , Hidayah al Salikin, Tuhfah al Gharaibin dan  lain-lain lagi.
Berikut merupakan sebahagian pengenalan terhadap  syeikh, sebagaimana yang telah ditulis oleh anak murid iaitu Ust Mujahid  b. Abdul Wahab di dalam bukunya yang berjudul: “Syeikh Muhammad Fuad  al-Maliki yang ku kenali” :
“..Syeikh Muhammad Fuad al Maliki  adalah seorang ulama’ yang begitu menitikberatkan pengajian ilmu secara  bersanad dan bertalaqqi kerana ia adalah warisan ulama’ dan salafussoleh  yang mulia. Oleh yang demikian, beliau telah mengembara ke merata  tempat dan mengorbankan wang yang banyak demi memperolehi sesuatu ilmu  serta menghubungkan rantaian sanad yang bersambungan dengan ulama’  seterusnya kepada Rasulullah.
Beliau telah bermusafir ke  negara-negara Islam seperti Mesir, Sudan, Syria, Lubnan, Palestin,  Emiriah Arab Bersatu, Makkah, Madinah, Turki, Indonesia, Singapura dan  lain-lain untuk tujuan itu dan telah mendapat redha dan restu daripada  ramai tokoh-tokoh dan jaguh ulama’ Islam dalam bidang ilmu dan dakwah.  Daripada merekalah beliau memohon tunjuk ajar, nasihat dan doa agar  diberikan taufiq dan kekuatan dalam meneruskan agenda dakwah dan  melangsungkan kesinambungannya. 
Dari kaca mata beliau, seseorang  pendakwah itu haruslah dilengkapi dengan beberapa perkara iaitu ilmu,  kecemburuan terhadap agama serta apa yang lebih utama lagi ialah  keizinan dan sanad daripada para masyayikh untuk menjalankan usaha  dakwah dan tarbiah.
Syeikh Muhammad Fuad al Maliki juga adalah  seorang ulama’ yang amat memuliakan para guru dan masyayikhnya. Beliau  sentiasa merendahkan diri di hadapan mereka serta sanggup menggadaikan  masa, tenaga dan harta demi memenuhi permintaan dan mendamba keredhaan  mereka. 
Disebabkan sifat sodiq dan amanahnya itu, Allah telah  melimpahkan keberkatan ilmu dan futuh terhadapnya serta mencampakkan  perasaan kasih ke dalam hati anak-anak murid juga insan-insan yang  mendampinginya.
Syeikh Muhammad Fuad al Maliki juga memilik  keistimewaan yang tidak dikongsi oleh kebanyakan insan yang lain. Beliau  amat dikasihi oleh para gurunya dan perkara ini dibuktikan dengan  perhatian khusus yang diberikan oleh para masyayikh terhadapnya. Nikmat  ini adalah sebesar-besar nikmat yang tidak dikongsi oleh beliau dengan  rakan-rakannya yang lain. Kasih para masyayikhnya yang mendalam ini  telah banyak memberikan kekuatan serta memandu kehidupan beliau. 
Setiap  ulama’ dari serata dunia Islam sama ada yang ditemuinya di luar negara  mahupun yang datang menziarahinya di Malaysia, akan menyatakan hasrat  mereka untuk mengambil beliau sebagai muridnya. Begitu juga mereka  berharap agar anak-anak murid beliau dapat melanjutkan pengajian di  madrasah-madrasah yang diasaskan oleh mereka sama ada Makkah, Syria,  Yaman dan lain-lain lagi. 
Di antara para masyayikh yang telah banyak mencurahkan ilmu, nasihat, sanad dan ijazah kepada beliau ialah:
DARI MESIR 
SYEIKH  ABDULLAH AL SYURA. Di antara kitab yang dipelajari daripadanya ialah  Tuhfah al Murid ‘ala Jauharah al Tauhid, Syarah Ibni ‘Aqil dan Kifayah  al Akhyar di rumahnya pada setiap pukul enam pagi.
SYEIKH MAHMUD  AL ADAWI, Imam Besar Masjid Syeikhah Sobah di Tanta, Mesir – Iqaz al  Himam fi Syarh al Hikam, Qalyubi wa ‘Umairah, al Hawi li al Fatawi, Qatr  al Nada wa Bal al Soda dan Syuzur al Zahab di Pejabat Masjid Syeikhah  Sobah.
SYEIKH HUSAIN AL DARWISYI– Syeikh Muhammad Fuad al Maliki  belajar kitab Kifayah al Akhyar di Pejabat Fatwa Masjid Sayyid Ahmad al  Badawi. Di sinilah, Syeikh Muhammad Fuad al Maliki bergaul dengan ulama’  al Azhar dan mengetahui selok belok mengeluarkan fatwa. Jika Syeikh  Husain mempunyai suatu urusan dan tidak dapat mengajar, maka beliau akan  menyuruh rakan-rakannya dari kalangan syeikh-syeikh yang lain supaya  mengajar Syeikh Muhammad Fuad al Maliki.
Beliau amat menyayangi  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki. Setelah selesai belajar, Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki menghadiahkan kepadanya sagu hati dan manis-manisan  sebagai tanda terima kasih seorang murid. Namun, beliau tidak  menerimanya dan mengembalikan semula pemberian tersebut. Beliau hanya  menerimanya setelah didesak oleh Syeikh Muhammad Fuad al Maliki tetapi  diserahkannya semula kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki dan kemudian  mengucup dahi Syeikh Muhammad Fuad al Maliki sebagai tanda kasihnya.
SYEIKH  WAJIHUDDIN AL TURKI. Beliau berasal dari Turki tetapi keluarganya  berpindah ke Tonto, Mesir selepas kejatuhan Empayar Uthmaniah. Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki mempelajari kitab Tuhfah al Murid ’ala Jauharah  al Tauhid dengannya di rumah yang disewa oleh Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki. 
SYEIKH MUHAMMAD IBRAHIM AL ASYMAWI. Beliau belajar kitab  al Tuhfah al Saniyyah fi Syarh Matan al Ajrumiah dan mempelajari ilmu  I’rab di Masjid Sayyid Ahmad al Badawi dan Masjid Syeikhah al Sobah  dengannya.
DR. ALI JUMA’AH, Mufti Kerajaan Mesir – Sohih Muslim dan Jam’u al Jawami’ di Masjid al Azhar.
SYEIKH  ABDUL GHANI IBN SOLEH AL JA’FARI. Beliau mengijazahkan Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki Tariqat al Ja’fariah al Ahmadiah al Muhammadiah dan sanad  ayahandanya, Imam Besar Masjid al Azhar, Syeikh Soleh ibn Muhammad al  Ja’fari. Beliau juga telah menghadiahkan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki  tasbih, sajadah dan kopiah ayahandanya, Syeikh Soleh al Ja’fari.
DR.  JUDAH AL MAHDI AL HUSAINI. Beliau merupakan Naib Rektor al Azhar.  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki belajar daripadanya secebis daripada  Tafsir Fakhruddin al Razi dan ilmu Tasawwuf. Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki juga telah diijazahkan dengan sanad-sanad ilmu dan mengambil  ba’iah Tariqat al Naqsyabandiah daripadanya.
SYEIKH ABDUL SALAM  ABU AL FADHL AL HASANI– Beliau telah mentalqinkan Syeikh Muhammad Fuad  al Maliki zikir Tariqat al Syazuliyyah dan Hizib al Bahr.
Beliau  merupakan seorang auliya’ Allah yang hebat dan mempunyai kasyaf yang  tajam pada ketika itu. Syeikh Muhammad Fuad al Maliki menceritakan,  semasa pergi mengerjakan solat Jumaat bersama rakan-rakannya, salah  seorang daripada mereka tidak mengerjakan solat Subuh. Dengan ketajaman  kasyaf yang dimilikinya, beliau tiba-tiba memotong tajuk asal khutbahnya  dan masuk kepada tajuk Kepentingan Solat Subuh.
DR. AHMAD UMAR  HASYIM, Mantan Rektor al Azhar. Beliau telah mentalqinkan Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki tiga buah hadith berkaitan rahmah dan belas  kasihan. 
Beliau juga mengijazahkan Syeikh Muhammad Fuad  sanad-sanad ilmu yang beliau terima daripada Syeikh Muhammad Yasiin ibn  Isa al Fadani, Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki, Imam al Akbar Dr.  Abdul Halim Mahmud dan lain-lain. Beliau juga tidak ketinggalan  mengijazahkan Syeikh Muhamad Fuad al Maliki segala kitab karangannya  terutama syarah Sahih al Bukhari yang bertajuk Faidh al Bari sebanyak 15  jilid.
AL MUHADDITH DR. MAHMUD SA’ID MAMDUH, Penyelidik di Pusat  Penyelidikan Islam Dubai. Beliau telah menulis ijazah untuk Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki dan telah memunawalahkan kitabnya yang bertajuk  al Ta’rif sebanyak 6 jilid, al Bayan yang mensyarahkan al Muhazzab  karangan Imam al Syairazi dan kitab-kitab lain. Beliau juga telah  menasihati Syeikh Muhammad Fuad al Maliki supaya menguasai bahasa Arab  dengan sedalam-dalamnya.
SAYYID MUSTAFA IBN AHMAD AL SYARIF AL  HASANI. Beliau ialah Syeikh Tariqat al Ahmadiah al Idrisiyyah di Mesir.  Menetap di Darau Aswan, Selatan Mesir. Penduduk di sana memanggil beliau  dengan gelaran Abu Hasyim yang bermaksud ayah yang suka menjamu makanan  kerana beliau bersifat sangat pemurah kepada faqir miskin dan sentiasa  membantu kehidupan mereka. Beliau telah memakaikan Syeikh Muhammad Fuad  al Maliki dengan Khirqah Sufi, dengan sanadnya daripada ayahandanya  Sayyid Ahmad al Syariif, daripada Sayyid Muhammad al Syariif, daripada  Sayyid Abdul ‘Ali daripada Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani. Beliau juga  mengijazahkan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki segala karangan  murid-murid Sayyid Ahmad ibn Idris terutamanya karya-karya Sayyid Uthman  al Mirghani. 
SAYYID MA’MUN IBN SAYYID ABDUL QADIR AL HASANI.  Beliau ialah Syeikh Tariqat al Ahmadiah di Kaherah dan beliau sentiasa  mengadakan majlis Hadharah di Masjid Sayyiduna Husain.
SAYYID  IDRIS IBN SAYYID MUSTAFA AL HASANI. Beliau telah memakaikan Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki Khirqah Sufi dan menggelarkannya dengan al  Ahmadi.
SAYYID IDRIS IBN ABDUL RAHIM AL IDRISI, Khadam Masjid  Sayyid Ahmad di Zainiyyah, Luxor, iaitu tempat Sayyid Ahmad ibn Idris  pernah menerima Tahlil Khusus daripada Rasulullah.
AL MUHADDITH  SYEIKH MUHAMMAD IBN IBRAHIM AL KATTANI. Beliau merupakan seorang  muhaddith di negara Mesir. Dr. Umar Abdullah Kamil berkata mengenainya,  “Saya tidak pernah bertemu dengan orang yang sealim beliau di dunia ini.  Kebanyakan kandungan syarahannya tidak terdapat di dalam kitab-kitab  kerana ilmunya diambil terus daripada Allah.” Beliau pernah menyatakan,  bahawa beliau menjadi sedemikian setelah bermimpi bertemu dengan  Rasulullah. Dalam mimpi tersebut, Rasulullah memberikannya kitab  karangan Syeikh Yusuf ibn Ismail al Nabhani yang bertajuk Hujjah Allah  ‘ala al ‘Alamin. Kemudian Rasulullah bersabda kepadanya, “Semoga Allah  membuka ke atas kamu segala sesuatu.”
Beliau mempunyai ramai  guru; di antaranya ialah ayahandanya sendiri, Syeikh Ibrahim ibn Abdul  Ba’ith. Beliau mengambil Tariqat al Syazuliyyah daripada ayahandanya  ini. Di antara gurunya yang lain ialah Syeikh Soleh ibn Muhammad al  Ja’fari, Imam Masjid al Azhar. Daripada Syeikh Soleh beliau mengambil  Tariqat al Ahmadiah al Idrisiah. Beliau pernah menceritakan pengalaman  dengan gurunya ini kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki dengan  menyatakan bahawa beliau pernah pergi ke majlis pengajian Syeikh Soleh  untuk meminta ijazah Hizib al Saifi. Namun, beliau merasa rendah diri  untuk memintanya. Tetapi, tiba-tiba Syeikh Soleh berkata kepada ahli  majlis pengajiannya bahawa Hizib Saifi ini telah diijazahkan kepada  semua keturunan Sayyiduna Ali t. Dengan perkataan Syeikh Soleh itu,  bererti beliau telah mendapat ijazah tersebut kerana beliau adalah dari  keturunan Sayyiduna Husain. 
Di antara gurunya juga ialah Abu al  Faidh al Kattani. Daripada gurunya ini, beliau mengambil Tariqat al  Kattaniah yang dengannya beliau dinisbahkan dengan gelaran al Kattani. 
Di  antara gurunya juga ialah al Muhaddith Syeikh Abdullah Siddiq al  Ghumari. Pada suatu ketika dulu, beliau pernah belajar bersama-sama Dr.  Ali Jum’ah yang merupakan Mufti Mesir sekarang ini, dengan Syeikh  Abdullah al Ghumari. Semasa belajar, beliau sering membetulkan bacaan  Dr. Ali Jum’ah yang salah. 
Di antara gurunya lagi, iaitu sanad  beliau yang tertinggi ialah al Musnid Syeikh Abdul Hayy al Kattani.  Daripada gurunya ini, beliau meriwayatkan kitab sanadnya yang bertajuk  Fahras al Faharis yang di dalamnya mengandungi senarai 700 orang  gurunya. Beliau adalah antara guru yang amat dikasihi oleh Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki, begitu jugalah beliau. Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki telah membaca kesemua kandungan kitab Jiyad al Musalsalaat  karangan Imam Sayuti, al Iqd al Thamin karangan Imam al Ajluni t,  Manzumah Aqidah Awam karangan Imam al Marzuqi, Matan Mustalah hadith al  Imam al Baiquni dan sebahagian daripada Syamail al Muhammadiyyah Imam al  Tirmizi dan Hikam Ibni Ata’illah al Sakandari dengannya. Beliau telah  menulis ijazah khusus untuk Syeikh Muhammad Fuad al Maliki sebanyak dua  kali. 
SYEIKH USAMAH SA’ID. Beliau telah meriwayatkan kepada  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki Hadith Musalsal bi al Awwaliyyah dan  Membaca surah al Saf.
PROF. DR. SA’AD JAWISH. Beliau ialah  seorang profesor hadith di Universiti al Azhar dan telah menulis ijazah  khusus kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki
AL ALLAMAH SYEIKH  ISMAIL IBN SODIQ AL ‘ADAWI, Imam Jami’ al Azhar. Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki amat terkesan dengan ilmu-ilmu dan khutbah Jumaat yang  disampaikan oleh beliau di Masjid al Azhar dan Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki sentiasa melaziminya. Syeikh Muhammad Fuad al Maliki pernah  menegaskan, beliau merasakan zauq dan wujdan apabila mendengar  khutbahnya kerana khutbahnya adalah ilham daripada Allah. Kenapa tidak  beliau dianugerahkan nikmat sedemikian kerana beliau merupakan cucu  kepada Abi al Barakat al Dardir. Syeikh Muhammad Fuad al Maliki juga  pernah mendengar pengajaran kitab al Syamail al Muhammadiah daripadanya.
AL  MUHADDITH AL MU’AMMAR SYEIKH SA’AD BADRAN. Beliau telah meriwayatkan  Hadith Musalsal bi al Awwaliyyah kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki  dan mengijazahkan sanadnya yang tinggi di rumahnya di Dumyat Mesir.  Beliau meriwayatkannya daripada syeikhnya, Abi al Nasr al Qauqaji,  daripada ayahandanya Abi al Mahasin al Qauqaji, daripada al Sayyid ‘Abid  al Sindi dengan sanadnya yang sampai hingga kepada Rasulullah. 
Begitu  juga Syeikh Abi al Nasr al Qauqaji meriwayatkan daripada al Syeikh  Muhammad ibn Ahmad Yusuf al Bahi al Misri al Maliki al Azhari, daripada  al Hafiz al Sayyid Abi al Fadhl Muhammad Murtadha al Zabidi dengan  sanadnya yang sampai kepada Rasulullah. 
AL MUHADDITH AL SUFI  SYEIKH AHMAD IBN DARWISH. Beliau merupakan anak angkat kepada al  Muhaddith Sayyid Abdullah al Ghumari t. Beliau telah digelar dengan al  Sufi oleh Syeikhnya. Setengah dari kalangan ahli sufi mengatakan bahawa  beliau adalah di antara abdal pada zaman ini. Beliau telah diijazahkan  oleh Syeikh Abdullah Siddiq al Ghumari, mantan Mufti Mesir Syeikh  Hasanain Makhluf, Muhaddith negara India Syeikh Habib al Rahman al  A’zami dan lain-lain lagi. Beliau telah meriwayatkan Hadith Musalsal bi  al Awwaliyyah dan mengijazahkan segala ijazah dan sanadnya kepada Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki. Beliau juga telah mengijazahkan Tariqat al  Syazuliyyah al Siddiqiyyah dan Salawat Dalail al Khairaat dan meminta  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki mengadakan majlis bacaan salawat tersebut  di madrasahnya. 
MAKKAH AL MUKARRAMAH
DR. SAYYID MUHAMMAD  IBN ‘ALAWI AL MALIKI. Syeikh Muhammad Fuad al Maliki pernah belajar  dengannya kitab Nasaih al Diniyyah, Sahih al Bukhari, Sunan Abi Daud,  Fath al Mughith, Tafsir Ibnu Kathir, al Fawaid al Jalilah fi Musalsalat  dan meriwayatkan daripadanya semua hadith Musalsal yang terdapat di  dunia dan lain-lain. Beliau juga telah mengijazahkan Tariqat al Ahmadiah  al Idrisiah kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki, memakaikannya  Khirqah Sufi dan memberikannya bai’ah yang tidak diberikan kepada semua  orang melainkan hanya kepada segelintir daripada murid-muridnya dan  mengamanahkan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki supaya menjadi khalifahnya.  Beliau juga memberikan kepercayaan kepada Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki untuk menterjemah dan menerbitkan kitab-kitab karangannya.  Bahkan, beliau juga telah memberikan bantuan moral dan material kepada  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki untuk membangunkan madrasahnya.
SAYYID  AHMAD IBN MUHAMMAD AL MALIKI. Beliau merupakan khalifah ayahandanya  yang telah membai’ah dan memakaikan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki  dengan Khirqah Sufi.
DR.UMAR ABDULLAH KAMIL. Beliau telah  mengijazahkan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki segala kitab karangannya  dan juga kitab sanadnya yang bertajuk al I’lam bi Ijazah al A’lam.  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki mempunyai hubungan yang rapat dengan  beliau sehingga ke hari ini mereka sering berhubungan bagi mengadakan  muzakarah ilmu.
Syeikh Ali Qaddur al Madani. Beliau berketurunan  Sayyid Ahmad al Rifa’i dari sebelah ayahandanya dan Sayyid Abdul Qadir  al Jailani dari sebelah bondanya. Beliau telah mengijazahkan Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki segala ilmu zahir dan batin termasuk Tariqat al  Rifa’iyyah.
Al Habib Umar Hamid al Jailani. Beliau ialah  keturunan Sayyid Abdul Qadir al Jailani. Beliau telah mengijazahkan  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki Hadith Musalsal bi al Awwaliyyah dan  kitab sanad Mufti Johor al Habib Alawi Tahir.
DUBAI
DR.  ISA IBN ABDULLAH IBN MANI’ AL HIMYARI, Menteri Waqaf Dubai. Beliau  menegaskan bahawa Syeikh Muhammad Fuad al Maliki merupakan orang pertama  yang diijazahkan olehnya.
AL ALLAMAH DR. AHMAD MUHAMMAD NUR  SAIF, Pengerusi Pusat Penyelidikan Islam Dubai. Beliau pernah  mengijazahkan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki hadith Musalsal bi al  Awwaliyah.
SYRIA
DR. MUHAMMAD MUTI’ IBN MUHAMMAD WASIL AL  HAFIZ AL DIMASYQI, Pentashih al Quran di Kementerian Waqaf, Dubai.  Syeikh Muhammad Fuad al Maliki pernah menerima hadith Musalsal bi al  Awwaliyah, Musafahah dan Munawalah Subhah dan lain-lain daripadanya.
DR.  KHALAF MUHAMMAD AL MUHAMMAD AL HALABI. Beliau mengijazahkan sanad yang  diterimanya daripada Syeikh Muhammad Yaasiin al Fadani kepada Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki.
SYEIKH HUSAIN SO’BIYYAH. Beliau adalah  syeikh di Dar al Hadith al Asyrafiyyah, Damsyiq, tempat di mana Imam  Nawawi pernah menjadi syeikh. Beliau telah meriwayatkan hadith Musalsal  bi al Awwaliyyah dan mengijazahkan ijazah-ijazah yang diterima daripada  guru-gurunya kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki.
YAMAN
SYEIKH  ALI HAMID AHMAD ABDUH HASAN QASIM AL SO’FANI AL MAKKI AL YAMANI, Ahli  Majlis Fatwa Kementerian Waqaf Dubai. Beliau telah menggelarkan Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki dengan al Ariif billah (orang yang kenal Allah).  Beliau pernah mengatakan kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki,  “Apabila guru-guru kamu telah mengasihi kamu, maka akan dibukakan segala  kefahaman ilmu ke dalam dada kamu.”
HABIB UMAR IBN MUHAMMAD IBN  SALIM IBN HAFIZ, Mudir Dar al Mustafa. Beliau telah mengijazahkan Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki sebanyak tiga kali dan juga meriwayatkan hadith  Musalsal bi al Awwaliyyah, Musafah dan Musyabakah kepadanya. Beliau  juga mengijazahkan kepadanya secara khusus kitab Iqaz al Himam fi Syarh  al Hikam, Syarah Hikam Syeikh Zarruq dan Syarah Hikam Syeikh Abdul Majid  al Syurbuni supaya Syeikh Muhammad Fuad al Maliki dapat mengambil  faedah daripadanya dalam urusan dakwah. Beliau juga mengijazahkan Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki untuk keluar berdakwah dan mengajar umat.
HABIB  ALI AL JUFRI, Naib Mudir Dar al Mustafa. Beliau telah meriwayatkan  kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki Musalsal bi al Awwaliyyah dan  Talqim serta mengijazahkannya 
SUDAN
SAYYID MUSTAFA IBN IDRIS AL HASANI
SAYYID IBNU IDRIS AL HASSAN AL IDRISI
PROF.  DR. SAYYID ABDUL WAHHAB AL TAZI AL IDRISI, Pensyarah di Universiti  Islam Madinah al Munawwarah. Beliau telah memakaikan Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki al Khirqah al Sufiyyah
SAYYID AHMAD IBN IDRIS AL HASANI. Beliau menetap di Dunqala Sudan.
SAYYID  MUHAMMAD IBN IDRIS AL HASANI. Beliau ialah Syeikh Tariqat Idrisiyyah al  Ahmadiyyah dan menetap di Khartum sebagai khalifah ayahandanya Sayyid  Idris al Idrisi.
SAYYID MUJADDIDI AL HASAN AL IDRISI. Beliau menetap di Khartum sebagai khadam di Masjid ayahandanya Sayyid Hasan al Idrisi.
MOROCCO
PROF. DR. FAROUQ HAMADAH. Beliau telah meriwayatkan kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki hadith Musalsal bi al Awwaliyyah
DR.  MUHAMMAD IBN KIRAN. Beliau telah meriwayatkan kepada Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki hadith Musalsal bil Awwaliyyah dan telah menulis ijazah  khusus untuknya. 
TUNISIA
AL ‘ALLAMAH SYEIKH MUKHTAR AL  SALAMI. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Mufti Tunisia selama 13  tahun. Beliau telah meriwayatkan hadith Musalsal bil Awwaliyyah dan  mengijazahkan segala kitab karangan dan amalannya kepada Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki.
MALAYSIA
TUAN GURU HAJI IBRAHIM BIN  DAHAN– Syeikh Muhammad Fuad al Maliki pernah belajar dengannya kitab  Matla’ al Badrain, Hikam Ibni `Atoillah, Dur al Nafis, Minhaj al Abidin,  Furu’ al Masail, Aqidah al Najiin, Sair al Salikin, Ahzab dan Aurad  Sayyid Ahmad ibn Idris al Hasani dan lain-lain lagi. Beliau merupakan  ‘Guru Saka’ di daerah Rembau yang banyak mendukung Syeikh Muhammad Fuad  al Maliki. Beliau pernah mengambil cuti mengajar untuk menghadiri  ceramah pertama Syeikh Muhammad Fuad al Maliki sempena sambutan Maulid  Nabi di Masjid Nerasau, Rembau dan menjemput Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki menyampaikan syarahan Maulid Nabi di madrasahnya, Madrasah al  Islamiah Haji Ibrahim, Kampung Bongek Acheh, Rembau.
Beliau  belajar ilmu Falak daripada Tuan Guru Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidiq  (Syeikh al Islam Kedah) dan pernah berguru dengan Allahyarham Tok  Kenali. Di antara kitabnya yang terkenal ialah Kitab Nur al Aulad dan  beliau bertanggungjawab menyusun Taqwim Solat yang digunapakai di Negeri  Sembilan, Melaka dan Selangor serta beberapa negeri lain sehingga ke  hari ini. Beliau telah mengamanahkan kepada Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki menyambung kuliah hari Rabu selepas pemergiannya pada 3 Ogos  1997. 
TUAN GURU HAJI ABDUL WAHID BIN UTHMAN– Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki pernah belajar dengannya kitab Riyadh al Solihin, Tahzib  Atraf al Hadith, Hikam Ibni Ato’illah, Tafsir al Quran dan lain-lain.
TUAN  GURU MURSYID DIRAJA DATO’ HAJI TAJUDDIN IBN ABDUL RAHMAN– Beliau  berasal dari Hadhramaut dan menjadi Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan  sebelum kewafatannya. Syeikh Muhammad Fuad al Maliki pernah belajar  daripadanya ilmu Tauhid, Feqah, Usul Feqh dan ilmu Tasawwuf iaitu kitab  Minhaj al Abidin. Beliau pernah mengijazahkan Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki dengan ijazah yang tidak pernah diijazahkannya kepada muridnya  sebelum itu. 
Beliau sangat mengasihi Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki dan banyak memberikan galakan kepadanya. Beliau mengiktiraf  keilmuan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki dan memberitahu kepada orang  ramai bahawa Syeikh Muhammad Fuad al Maliki adalah seorang ulama’ besar.
TUAN  GURU DATO’ ABDULLAH BIN SIJANG, bekas Qadhi Daerah Port Dickson. Beliau  pernah mengijazahkan Tariqat Ahmadiah yang diterimanya daripada Tok  Syafi’i dan sanad hadith yang diterimanya daripada Syeikh Hasan Masysyat  di Makkah al Mukarramah kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki. Sebelum  kewafatannya, beliau pernah mentalqinkan Syeikh Muhammad Fuad al Maliki  beberapa ilmu hikmah, kaifiat muraqabah dan fidyah orang mati.
TUAN  GURU DATO’ HJ. NAWAWI BIN HASAN- Beliau pernah mengajar Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki ilmu Nahu; Nahu Wadhih dan Matan al Fiyyah di Ma’had  Ahmadi Gemencheh
SAHIBUS SAMAHAH DATO’ HASAN BIN SAIL, bekas  Mufti Kerajaan N.Sembilan. Beliau pernah mengajar Syeikh Muhammad Fuad  al Maliki kitab Hidayah al Sibyan di Surau Kg. Tengah, Rembau, N.  Sembilan.
TUAN GURU SYEIKH ABDULLAH BIN ABDUR RAHMAN, Mudir  Pondok Lubuk Tapah, Kelantan. Beliau pernah mengijazahkan Syeikh  Muhammad Fuad al Maliki sanad yang diterimanya daripada Syeikh Yasin ibn  Isa al Fadani al Hasani, Syeikh Abdul Qadir al Mandili, Sayyid Alawi  ibn Abbas al Maliki dan mengijazahkan Tariqat Ahmadiah kepadanya.
TUAN  GURU HAJI AHMAD BIN MUHAMMAD AJI. Beliau merupakan murid kepada Syeikh  Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dan Tuan Guru Haji Husin Langgar  Kedah. Syeikh Muhammad Fuad al Maliki pernah belajar beberapa buah kitab  karangan al Marhum Syeikh Ahmad t daripadanya di Masjid Semerbok  Rembau, N.Sembilan. Tetapi, apabila Syeikh Muhammad Fuad al Maliki  pulang dari al Azhar, beliau pula datang belajar dengannya kitab Syarah  Hikam karangan Syeikh Ibnu ‘Ubbad dan kitab hadith Zad al Muslim  karangan Syeikh Habib Allah al Syanqiti. Beliau menegaskan bahawa tiada  lagi orang alim di Rembau kecuali Syeikh Muhammad Fuad al Maliki.
INDONESIA
SYEIKH  ABDUL HAMID AL MAKKI. Beliau telah mengijazahkan dan meriwayatkan  hadith Musalsal bi al Awwaliyyah kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki.
SYEIKH  ABDUL KARIM AL BANJARI AL MAKKI. Syeikh Muhammad Fuad al Maliki kerap  menghadiri majlis pengajiannya yang terletak di Masjid al Haram. Di  antara kitab yang pernah dipelajari daripadanya ialah Kitab Dalil al  Falihin dan beliau telah mengijazahkan secara khusus kitab sanad al  Maslak al Jali kepadanya.
AL HABIB SOLEH AL ‘AIDARUS. Beliau ialah murid Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki.
SINGAPURA
TUAN  GURU HAJI ABDUL RASHID BIN SYEIKH HAJI MUHAMMAD SA’ID – Matla’ al  Badrain dan Sair al Salikin. Orang pertama yang mengijazahkan Tariqat  Ahmadiah kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki sewaktu berusia 8 tahun.
SYEIKH  AHMAD SONHAJI. Beliau telah mengijazahkan Syeikh Muhammad Fuad al  Maliki kitab tafsirnya yang masyhur, ‘Ibra al Athir di Majlis Agama  Islam Singapura ketika beliau menghadiri majlis ceramah Syeikh Muhammad  Fuad al Maliki di sana.
SAYYID AHMAD SEMAIT. Beliau telah mengijazahkan kepada Syeikh Muhammad Fuad al Maliki semua kitab karangan dan terjemahannya.
Antara karya beliau ialah:
Rasulullah dan Sirah
1. Rasulullah dari Perspektif Imam Syafi’i
2. Maulid Nabi dalam Necara Nabawi
3. Rantaian Nasab Nabi
4. Kewajipan Mencintai dan Memuliakan Nabi (Terjemahan)
5. Hukum Menghina Nabi
6. Hidupnya Para Nabi di Dalam Kubur
7. Keunggulan Rasulullah
8. Ringkasan Sirah Nabawiyyah (Terjemahan)
9. Al Anwar al Nabawiyyah (Terjemahan)
10. Keistimewaaan Rasulullah
11. Mukhtasar Syamail Muhammadiah (Terjemahan)
12. Mu’jizat Isra’ dan Mi’raj
Manaqib dan Biografi
1. Sayyid Ahmad ibn Idris
2. Al Maliki: Ulama’ Rabbani Kurun ke-21
3. Hujjah al Islam Imam al Ghazali
4. Mendekati Sayyid Ja’afar al Barzanji
5. Al Imam Abu Hasan al ‘Asy’ari
6. Al Imam al Hafiz Jalaluddin al Suyuti
7. Biografi Syeikh Muhammad Harith
8. Manaqib Sayyidah Khadijah al Kubra
9. Sayyid Ibrahim al Rasyid 
Tasawwuf
1. Hubungan Tasawuf Dengan Sunnah
2. Kewajipan Bertasawwuf (Terjemahan)
3. Qatr al Ghaithiyyah (Semakan dan Cetakan semula)
4. Hikam Abi Madyan (Semakan dan Cetakan Semula)
5. Hikam Syeikh Raslan (Terjemahan)
6. Adab-adab Salikin (Adaptasi)
7. Anwar al Sabil al Aqwam fi Syarh al Hikam
8. Adab Tariq (Terjemahan)
Zikir dan Amalan 
1. Pancaran Nur Doa dan Zikir Ahli Akhyar (Terjemahan Syawariq al Anwar)
2. Lautan Zikir Ahli Arifin
3. Perisai Tiga Kekasih Allah
4. Kanz al Sa’adah (Tahqiq dan Terjemahan)
5. Ahzab wa Aurad Manhaj al Ahmadi al Idrisi (Tahqiq)
6. Doa Majlis Sayyid Ahmad ibn Idris
7. Aurad Ahmadiah dan Ratib Haddad
8. Hizib Bahr
9. Hizib al Imam Ghazali
10. Hizib Imam Nawawi
11. Salawat 40 (Terjemahan)
12. Manzumah Tawassul Asma’ al Husna (Cetakan Semula)
13. Amalan Bulan Rejab
14. Doa Malam Nisfu Sya’ban
15. Tazkirah Ramadhan
16. Amalan Bulan Safar al Khair
17. Amalan Bulan Zulhijjah
18. Amalan Awal Muharram dan Hari Asyura
19. Doa Untuk Ibu bapa dan Anak-anak
20. Duru’ al Wiqayah bi Ahzab al Himayah (Cetakan semula)
21. Surah Yaasin Kaifiat dan Doanya
22. Doa Sayyid Ibrahim al Rasyid
23. Wasilah Para ‘Abid
24. Doa Angin Ahmar
25. Amalan Memudahkan Rezeki
26. Amalan Menguatkan Ingatan dan Menghindari Was-was
27. Himpunan Ayat-ayat Penjaga
28. Solat Sunat Sayyid Ahmad ibn Idris
29. 40 Salawat Pilihan Ke atas Nabi
30. Jampi Penawar Dari al Quran (Terjemahan)
31. Ratib Hari Jumaat
32. Pendinding Diri
33. Amalan Menolak Wabak dan Bala
Aqidah dan Tauhid
1. Aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah
2. Qawa’id al ‘Aqaid (Terjemahan)
3. Wahhabisme Dari Neraca Syara’
4. Kerapuhan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah (Terjemahan)
5. Penjelasan Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah (Terjemahan)
6. Agamamu Dalam Bahaya (Terjemahan)
7. I’tiqad Ahli Sunnah Wal Jama’ah (Cetakan semula)
8. Aqidah Awam (Terjemahan)
9. Pendapat Ahli Sunnah Yang Bertentangan Dengan Pendapat Wahhabi (Terjemahan)
Tafsir 
1. Tafsir Surah al Fatihah (Tahqiq)
2. Tafsir Surah Dhuha
3. Tafsir Surah al Insyirah
4. Tafsir Surah al Kauthar
5. Tafsir Surah Yaasiin
Hadith
1. Musyahadah Ruh Insan Bertaqwa (Terjemahan)
2. Hadith 60: Kelebihan Ahli Bait (Terjemahan)
3. Kelebihan Memelihara dan Membiaya Anak Yatim
4. Kelebihan al Quran (Terjemahan)
5. Mutiara Nabawi (Terjemahan)
6. Mutiara Sa’adah (Terjemahan)
7. Kewajipan Mencintai dan Memuliakan Nabi (Terjemahan)
8. Hidayah al Mukhtar (Terjemahan)
9.Galakan Melakukan Amal Kebaikan (Terjemahan)
Feqah
1. Munyah al Musolli (Tahqiq)
2. Safinah al Naja (Terjemahan)
3. Hukum Membaca Basmalah
4. Hukum Mengikut Imam Yang Menyalahi Mazhab Makmum
5. Posisi Imam Ketika Solat Jenazah
6. Pendapat Ulama’ Hukum Mencium Tangan
Sanad dan Ijazah (Athbat)
1. Al Musalsalat al ‘Asyarah
2. Al Toli’ al Sa’id (Bahasa Arab)
3. Kunuz al Anwar al Muntakhab min Asanid al Akhyar (Bahasa Arab)
4. Al Jawahir al Ghawali min Asanid al Imam al Azhari (Bahasa Arab)
5. Musalsal Orang-orang Mulia
6. Al Yaqut al Nafis min Asanid al Muhaddith Sayyid Ahmad ibn Idris. (Bahasa Arab)
7. Fath al Rahman bi Asaniid Mufti Nejri Sembilan (Bahasa Arab)
8. Al Bahjah al Mardiyyah fi Musalsalat al Rembawiyyah (Bahasa Arab)
9. Bulugh al Amani al Muntakhab min al Musalsalat al Maliki (Bahasa Arab)
10.Sanad al Aurad al Qusyasyiah
11.Al Manhal al Karim fi Asaniid al Quran al ‘Azim (Bahasa Arab) 
Lain-lain
1. Kefahaman Yang Wajib diperbetulkan (Terjemahan Mafahim Yajibu an Tusohhah)
2. Akhlak Salafussoleh (Terjemahan)
3. Qudwah Hasanah Dalam Manhaj Dakwah
sumber 
Bagikan ke Teman & Pengikut:
- Klik untuk membagikan di Facebook(Membuka di jendela yang baru) Facebook
 - Klik untuk berbagi di X(Membuka di jendela yang baru) X
 - Klik untuk berbagi di Linkedln(Membuka di jendela yang baru) LinkedIn
 - Klik untuk berbagi pada Reddit(Membuka di jendela yang baru) Reddit
 - Klik untuk berbagi pada Tumblr(Membuka di jendela yang baru) Tumblr
 - Klik untuk berbagi pada Pinterest(Membuka di jendela yang baru) Pinterest
 - Klik untuk berbagi via Pocket(Membuka di jendela yang baru) Pocket
 - Klik untuk berbagi di Telegram(Membuka di jendela yang baru) Telegram
 - Klik untuk berbagi di Utas(Membuka di jendela yang baru) Utas
 - Klik untuk berbagi di WhatsApp(Membuka di jendela yang baru) WhatsApp
 - Klik untuk membagikannya ke Mastodon(Membuka di jendela yang baru) Mastodon
 - Klik untuk berbagi di Nextdoor(Membuka di jendela yang baru) Nextdoor
 - Klik untuk berbagi di Bluesky(Membuka di jendela yang baru) Bluesky
 
