Latar belakang kelahiran
Nama beliau ialah Ma’sum bin Muzayyin  dan berasal dari Lasem Jawa Tengah, Indonesia. Lasem dikenali sebagai  Tiongkok kecil kerana merupakan kota awal pendaratan orang Tionghoa di  tanah Jawa. Beliau dilahirkan pada awal tahun 1990an, namun tanggal  kelahiran beliau tidak dapat dipastikan secara tepat. Penukaran  nama kepada Muhammad Khalil adalah kerana mengambil tabarruk guru yang  dikasihinya yang bernama Kiai Khalil Bengkalan yang berasal dari Pulau  Madura Jawa Timur. Maka masyhurlah nama beliau di Malaya pada  ketika itu dengan nama Kiai Khalil Bin Abu Ammar. Sementara ayahnya  iaitu Kiyai Muzayyin, menukar nama kepada Kiai Abu Ammar selepas  menunaikan haji di Mekah al-Mukarramah. Ini kerana telah menjadi  adat masyarakat Jawa akan menukar nama yang baru setelah menunaikan  haji. Ia juga berkemungkinan tabarruk nama panggilan baru dengan tanah  suci Mekah yang penuh barakah.
Pendidikan awal
Beliau mula  belajar di Pesantren Rembang dan kemudian berpindah ke Pesantren Pati,  dan akhir sekali di Tebu Ireng Jombang Jawa Timur. Dikatakan pada awal  pengajiannya, beliau selalu cuai dalam belajar. Sikap beliau tersebut  sampai kepada pengetahuan bapanya, lalu beliau dipanggil pulang dan  diserahkan tugas memelihara kambing ternakan.
Setelah melalui  tugasan tersebut, maka beliau menyedari bahawa peritnya sebagai  penggembala kambing. Ekoran itu, beliau memohon kepada ayahnya untuk  kembali meneruskan pembelajaran di pondok.
Di Pondok Tebu Ireng ,  beliau telah berguru dengan Kiai Hasyim Asy’ari. Kiai Hasyim Asy’ari  adalah seorang ulama terkenal di Indonesia dan merupakan salah seorang  pengasas Nahdhatul Ulama (NU). 
Di samping itu, Kiai Khalil turut berguru dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura, iaitu ulama yang diambil tabarruk namanya.
Kiai Khalil Bengkalan/Madura merupakan guru kepada Kiai Hasyim Asy’ari sewaktu beliau belajar di daerah Madura. Namun terjadi satu peristiwa pelik di mana Kiai Khalil Bengkalan datang untuk berguru dengan bekas anak muridnya di Tebu Ireng. Puas ditolak namun Kiai Khalil Bengkalan tetap dengan pendiriannya untuk berguru dengan Kiai Hasyim Asy’ari. Akhirnya permintaannya itu dipersetujui beliau. Kiai Khalil Bengkalan/ Madura adalah seorang yang mahir dalam pelbagai ilmu, terutama dalam ilmu Nahu, Sorof, Balaghah, Fiqh dan lain-lain.
Hasil perguruan ulama yang dibicarakan ini dengan Kiai Khalil Bengkalan/Madura tersebut, beliau mempunyai kemahiran yang agak luar biasa dalam ilmu nahu bahasa Arab. Antara kitab yang menjadi kebiasaan dalam kelasnya ialah kitab Alfiah. Hal ini turut diperakui sendiri oleh Sheikh Mahmud al-Bukhari, yang menyatakan bahawa kemahirannya mendatangkan syahid dalam masalah nahu Arab, sehingga digelar sebagai Khalil Imran.
Menurut Ustaz Ahmad Mukhit, iaitu Mu’allim Indra Wangsa, menyatakan bahawa Kiai Khalil belajar hanya tiga tahun sahaja. Namun dalam masa tersebut beliau dikurung oleh gurunya dan menghabiskan seluruh masanya untuk mempelajari pelbagai ilmu. Dikatakan beliau tidak tidur sepanjang malam untuk mentelaah kitab-kitab sehingga menjelang Subuh. Bahkan, beliau juga dikatakan mendapat ilmu secara ladunni.
Karya penulisan
Kiai  Khalil bin Abu Ammar juga menghasilkan karya-karya penulisan yang  banyak. Boleh dikatakan hampir kesemua karya penulisan beliau adalah  berasal daripada tulisan tangan beliau sendiri. 
Berdasarkan  penemuan karya penulisan tersebut, dilihat beliau banyak menghasilkan  karya-karya dalam bidang-bidang tertentu iaitu ilmu nahu bahasa Arab,  ilmu Falak, ilmu Qawa’id Fiqh dan sebagainya.
Kewafatan
Ketika  berusia lebih 70 tahun, beliau kembali ke rahmatullah pada penghujung  tahun 1978 selepas menunaikan haji bersama isteri, Nyai Salbiah dan anak  perempuan mereka, Hajah Sofiyyah di Mekah. Jasadnya telah  disembahyangkan di hadapan Kaabah dan dikebumikan di perkuburan Ma’la.
Penutup 
Disebabkan  kepadatan ruangan ini, maka banyak lagi maklumat-maklumat yang terdapat  dalam kertas kerja tersebut tidak dapat dibicarakan selanjutnya. Namun,  maklumat-maklumat lainnya boleh diperoleh dengan merujuk kertas kerja  tersebut yang dihimpunkan dalam satu buku dengan judul Prosiding Seminar  Tokoh Ulama Selangor 2008, terbitan Kolej Universiti Islam Antarabangsa  Selangor (KUIS).
Bagikan ke Teman & Pengikut:
- Klik untuk membagikan di Facebook(Membuka di jendela yang baru) Facebook
 - Klik untuk berbagi di X(Membuka di jendela yang baru) X
 - Klik untuk berbagi di Linkedln(Membuka di jendela yang baru) LinkedIn
 - Klik untuk berbagi pada Reddit(Membuka di jendela yang baru) Reddit
 - Klik untuk berbagi pada Tumblr(Membuka di jendela yang baru) Tumblr
 - Klik untuk berbagi pada Pinterest(Membuka di jendela yang baru) Pinterest
 - Klik untuk berbagi via Pocket(Membuka di jendela yang baru) Pocket
 - Klik untuk berbagi di Telegram(Membuka di jendela yang baru) Telegram
 - Klik untuk berbagi di Utas(Membuka di jendela yang baru) Utas
 - Klik untuk berbagi di WhatsApp(Membuka di jendela yang baru) WhatsApp
 - Klik untuk membagikannya ke Mastodon(Membuka di jendela yang baru) Mastodon
 - Klik untuk berbagi di Nextdoor(Membuka di jendela yang baru) Nextdoor
 - Klik untuk berbagi di Bluesky(Membuka di jendela yang baru) Bluesky
 
